Keadaan pacuan empat roda yang terbabit kemalangan hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Keadaan pacuan empat roda yang terbabit kemalangan hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


MASING-masing lelaki dan wanita maut selepas tercampak keluar dari Perodua Viva dinaiki selepas bertembung dengan Toyota Hilux berdekatan Taman Negara Lambir di Jalan Miri-Bintulu, Miri hari ini.

Seorang lagi penumpang wanita parah manakala lelaki yang memandu kereta itu cedera dalam kejadian 4.45 petang itu.

Lelaki yang memandu Toyota Hilux serta tiga penumpang wanita pula cedera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.49 petang.

Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Setibanya di lokasi, didapati seorang wanita parah dan tersepit di tempat duduk penumpang Perodua Viva.

“Dua lagi penumpang kereta itu iaitu lelaki dan wanita yang tercampak keluar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan ketika kejadian, kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Miri menghala ke Bintulu bertembung dengan pikap itu yang datang dari arah bertentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 9:03 PM