Anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah dan tiga kenderaan di Miri. FOTO JBPM
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah dan tiga kenderaan di Miri. FOTO JBPM
Garret Dawum


SUAMI isteri berputih mata apabila rumah dua tingkat dan tiga kenderaan milik mereka musnah dalam kebakaran di Ocean Park, Miri hari ini.

Ketika kejadian 9 pagi itu, pemilik tiada di rumah dan difahamkan keluar bekerja.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian itu disedari jiran mangsa yang melihat kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan perumahan mereka sebelum membuat panggilan kecemasan kepada bomba.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.24 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dikejarkan ke lokasi.

“Lapan anggota dari BBP Lopeng turut membantu dalam operasi itu.

“Sebaik tiba, kami dapati sebuah kenderaan yang diletakkan di depan rumah terbakar dan api merebak ke dua kenderaan lain yang bersebelahan.

“Api marak dengan cepat dan merebak ke siling tempat letak kereta rumah berkenaan sebelum memasuki dalam rumah,” katanya ketika dihubungi.

Menurut jurucakap itu, pihaknya mengalami kesukaran untuk memadam api di dalam rumah kerana arus elektrik pada masa itu masih aktif dan belum dipotong.

“Namun semuanya selesai beberapa jam kemudian dan akibat kejadian itu, rumah terbabit, masing-masing sebuah Perodua Myvi dan van Toyota Hiace musnah manakala kereta Toyota Camry musnah 50 peratus.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 4:39 PM