Keadaan kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Keadaan kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Omar Ahmad


PEMANDU Toyota Unser maut manakala isterinya dan pemandu sebuah lori cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 25.8 Jalan Kulai-Kota Tinggi berhampiran Loji Rawatan Air Semanggar, Kota Tinggi, 12.20 tengah hari, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Asisten Komisioner Rahmat Othman berkata, kemalangan berlaku apabila Toyota Unser dipandu Suboh Abd Wahab, 65, yang bersama isterinya, Hapizah Surajan, 56, dari Kulai menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori.

Katanya, akibat pertembungan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

"Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Felda Taib Andak menghala ke Kota Tinggi, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu melanggar belakang sebuah Ford Ranger sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Pemandu lori berusia 29 tahun cedera di kepala serta dada dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi, manakala pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 9:27 PM