Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Lelaki direman tujuh hari sehingga 7 Januari depan bagi membantu siasatan kes bunuh abangnya yang ditemui rentung dalam kebakaran dua rumah berkembar di Kampung Chantek Bangun, Simpang Empat, di sini, 27 Disember lalu.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, suspek, 34, yang bekerja sendiri dibawa ke Mahkamah Kangar kira-kira 9 pagi selepas ditahan di sekitar rumahnya, semalam.

Suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental itu diwakili oleh peguam Asmaniza Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superitendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek.

Pada 27 Disember lalu, Romizan Ramli, 42, maut selepas terperangkap di dalam rumahnya ketika kebakaran berlaku di kediamannya di Kampung Chantek Bangun, Simpang Empat, di sini.

Kejadian yang berlaku pada jam 5.30 pagi itu turut memusnahkan rumah sebelah yang dihuni tujuh ahli keluarga mangsa termasuk tiga orang anaknya.

SUSPEK (dua kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SUSPEK (dua kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kebakaran dipercayai bermula dari bilik suspek sebelum merebak ke bilik mangsa yang ketika itu sedang tidur.

Mangsa dipercayai maut akibat lemas selepas gagal keluar untuk menyelamatkan diri.

Mayat mangsa ditemui oleh anggota bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 1:26 PM