DR Ahmad Hafizam hadir di Mahkamah Koroner hari ini. FOTO Sairien Nafis.
DR Ahmad Hafizam hadir di Mahkamah Koroner hari ini. FOTO Sairien Nafis.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SAKSI pakar memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, tiada kesan kecederaan menunjukkan bahawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik keluar secara paksa dari van bomba dinaikinya, pada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, ia berdasarkan pemeriksaan klinikal ketika anggota bomba itu menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan keputusan bedah siasat yang dilakukannya terhadap mangsa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-17 inkues kematian Muhammad Adib.

HAMDAN: Dalam laporan bedah siasat, kamu kata tidak dapat ketepikan ada orang menarik mangsa?

DR AHMAD HAFIZAM: Ya, saya tidak dapat katakan bahawa mangsa keluar atau ditarik. Bagaimanapun, daripada bedah siasat, tiada kecederaan pada anggota kiri si mati yang menunjukkan adanya kecederaan ditarik oleh orang. Untuk seseorang ditarik secara paksa, ada kesan “grip mark” pada bahagian ditarik itu.

Tetapi dalam kes ini, tiada sebarang kesan pada anggota atas kiri si mati.

HAMDAN: Maksudnya?

DR AHMAD HAFIZAM: (Kesan) pada bahagian tangan, lengan atas dan bawah. Saya dimaklumkan si mati adalah penumpang hadapan sebelah kiri van. Jika ditarik keluar pastinya ada tanda atau kecederaan pada bahagian kiri... sebab itu sahaja kawasan yang boleh diakses.

HAMDAN: Pada pemeriksaan kamu (bedah siasat) dan pemeriksaan klinikal (yang dilakukan ketika ketika mangsa menerima rawatan) ?

DR AHMAD HAFIZAM: Hanya ada satu kesan calar pada siku kiri yang berpadanan dengan kesan geseran akibat jatuh.


Menjawab soalan lain Hamdan, saksi sama berkata, tiada kesan kecederaan menunjukkan bahawa baju atau bahagian kolar pakaian anggota bomba itu ditarik.

HAMDAN: Bagaimana dengan kesan tarikan pada baju. Apa komen doktor?

DR AHMAD HAFIZAM: Jika ditarik pada baju sahaja... jika tarikan tidak terkena pada kulit atau anggota badan, kemungkinan mendapat kecederaan tidak ada.

HAMDAN: Bagaimana jika tarikan atas kolar?

DR AHMAD HAFIZAM: Jika ditarik kuat, berlaku geseran pada kolar dan tisu pada leher. Jika ini berlaku kemungkinan kecederaan amat tinggi. Tetapi dalam kes ini tak ada.


Terdahulu, saksi sama berkata, adalah mustahil kepatahan tulang rusuk kiri mangsa disebabkan dipukul dengan belakang parang, dalam keadaan anggota bomba itu berdiri.

Katanya, ini kerana untuk menyebabkan kepatahan itu, mangsa perlu berada dalam keadaan menegak dan objek itu juga dalam posisi sama.

“Pada pandangan saya, daya yang dihasilkan oleh objek itu tidak kuat untuk menyebabkan kepatahan (berkenaan),” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN, pada 17 Disember lalu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 3:24 PM