Azkhalim (tengah) bersama penjaja menunjukkan surat bantahan mengenai penutupan pasar malam Jalan TAR. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Azkhalim (tengah) bersama penjaja menunjukkan surat bantahan mengenai penutupan pasar malam Jalan TAR. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Ekhwan Haque Fazlul Haque

“JANGAN tutup periuk nasi kami yang ada keluarga untuk disara,” itu luahan peniaga Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur mengenai cadangan penutupan laluan pasar malam itu.

Sebanyak 550 lot pasar malam yang menjadi antara tarikan pelancong setiap Sabtu di Jalan TAR bakal ditutup dan dipindahkan ke lokasi lain.

Difahamkan, tapak pasar malam akan dipindahkan di Jalan Raja dan Jalan Raja Laut namun ia masih belum diputuskan.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong TAR Azkhalim Suradi berkata, keputusan memindahkan tapak perniagaan yang bermula sejak 20 tahun lalu bakal menutup punca rezeki peniaga.

Menurutnya, terdapat khabar angin yang mengatakan tapak pasar malam akan dipindahkan ternyata mengejutkan peniaga kerana tiada perbincangan dibuat antara Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Lokasi pasar malam ini menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara yang sudah terkenal sejak 20 tahun lalu.

“Apa punca tapak ini perlu dipindahkan sedangkan kami juga antara ‘pemegang saham’ yang membantu memajukan kawasan ini. Apa punca kami perlu dipindahkan? katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, tindakan pemindahan itu juga boleh menyebabkan ekonomi peniaga terjejas kerana lokasi baru tidak sesuai.

Katanya, penjaja akan bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk menyerahkan memorandum bantahan mengenai perpindahan tapak pasar malam Isnin ini di Parlimen.

“Menteri harus turun sendiri ke tapak pasar malam yang majoritinya peniaga Bumiputera kerana ini hanya menidakkan hak kami sebagai penyumbang kepada ekonomi setempat.

“Perbincangan perlu dilakukan secepat mungkin dan jalan penyelesaian pasti diperoleh untuk memastikan operasi pasar malam dan punca pendapatan tidak terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 7:19 PM