Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 8,486 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah yang ditutup di Pasir Gudang susulan bencana pencemaran sisa bahan kimia hadir ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi mengambil keputusan masing-masing.

Pegawai Pendidikan Daerah, Jasni Omar berkata, calon berkenaan adalah dari 37 sekolah menengah yang ditutup mulai semalam.

“Setakat ini, proses untuk mengambil keputusan SPM 2018 berjalan lancar kerana mendapat bantuan yang baik daripada pihak sekolah.

“Keputusan peperiksaan itu boleh diambil bermula 10 pagi sehingga 5 petang hari ini,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, Jasni berkata, bagi calon yang tidak berkesempatan untuk mengambil keputusan kerana terkesan dengan pencemaran sisa bahan kimia berkenaan, boleh mengambil di kaunter khas yang disediakan.

“Calon yang tidak sempat mengambil keputusan pada hari ini boleh mengambil keputusan bermula Ahad ini di PPD sehingga arahan untuk membuka semula persekolahan.

“Kaunter khas ini dibuka bagi memudahkan pergerakan pelajar untuk mengambil keputusan,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengarahkan semua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup berkuat kuasa serta merta mulai semalam hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa dan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri susulan pencemaran sisa bahan kimia berbahaya di Sungai Kim Kim di daerah itu pada Khamis lalu.

Susulan itu, Lembaga Peperiksaan menerusi satu kenyataan berkata, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di sekolah-sekolah yang ditutup akibat bencana pencemaran sisa bahan kimia di kawasan Pasir Gudang, boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 12:05 PM
SEBAHAGIAN pelajar dan ibu bapa yang hadir ketika Penyerahan Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2018 bagi sekolah terjejas akibat bencana sisa bahan kimia, di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SEBAHAGIAN pelajar dan ibu bapa yang hadir ketika Penyerahan Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2018 bagi sekolah terjejas akibat bencana sisa bahan kimia, di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin