Laporan portal Harian Metro mengenai pelajar lelaki diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan ranta dan batang besi di Setia Alam, Shah Alam.
Laporan portal Harian Metro mengenai pelajar lelaki diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan ranta dan batang besi di Setia Alam, Shah Alam.
Faliq Lajim


SEKUMPULAN lelaki yang menyerang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Setia Alam di sini, Isnin lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal pihaknya mendapati remaja lelaki itu diserang selepas kumpulan berkenaan tidak berpuas hati dengan mangsa.

“Mangsa dipercayai diserang sekumpulan lelaki anggota kumpulan kongsi gelap yang aktif sekitar daerah Klang.

“Ia berikutan pelajar itu dikatakan enggan menyertai kumpulan kongsi gelap mereka.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya kepada Harian Metro.

Baharudin berkata, pihaknya masih memburu tiga individu yang masih bebas selepas seorang daripada kumpulan itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum ini.

“Kita juga akan mendapatkan lanjutan reman terhadap suspek berkenaan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, penjenayah yang masih bebas itu dikehendaki selepas menyerang mangsa berusia 15 tahun terbabit di luar sekolah dengan bersenjatakan rantai dan batang besi.

Kejadian berkenaan yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan gambar kumpulan lelaki berkenaan mengejar mangsa di hadapan sekolah di kawasan itu.

Kumpulan suspek itu datang ke kawasan sekolah berkenaan dengan menaiki kereta Suzuki Swift berwarna biru dan mangsa yang ketakutan segera menyelamatkan diri dengan memasuki semula sekolah menuju ke pondok pengawal bagi mendapatkan perlindungan.

Bagaimanapun, mangsa cedera dan bengkak pada siku akibat terkena rantai besi yang dilibas seorang daripada suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 12:04 AM