Dr Lee (kanan) menampal poster larangan merokok selepas merasmikan pengisytiharan YMCA Ipoh sebagai kawasan larangan merokok. FOTO Effendy Rashid
Dr Lee (kanan) menampal poster larangan merokok selepas merasmikan pengisytiharan YMCA Ipoh sebagai kawasan larangan merokok. FOTO Effendy Rashid
Farah Suhaidah Othman


PEROKOK tegar yang mahu berhenti merokok digalakkan menyertai program bimbingan berhenti merokok menerusi `mQuit’ yang disediakan secara percuma Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, sebanyak 46 hospital kerajaan dan 731 klinik kesihatan di seluruh negara menyediakan kemudahan itu bagi membantu perokok menerusi program yang dilancarkan sejak 2012.

Menurutnya, berdasarkan pendaftaran peserta menerusi program berkenaan, seramai 27,567 perokok sudah berdaftar dari 2015 hingga 2017 dan daripada jumlah itu didapati 8,092 orang berjaya berhenti merokok dalam tempoh tiga tahun.

“Bagaimanapun, sepanjang enam tahun sejak 2012 hingga 2017, jumlah keseluruhan perokok berhenti merokok adalah seramai 12,400 orang menerusi program yang disediakan kementerian.

“Kita mengambil perhatian serius berkaitan tabiat merokok ini kerana kita tahu dalam kalangan orang dewasa ketika ini terdiri daripada 21 peratus perokok, manakala 11.7 peratus lagi adalah dalam kalangan remaja, ini ‘trend’ yang tidak menggalakkan.

“Bagi mereka yang ingin berhenti merokok, mereka boleh melayari laman web www.jomquit.moh.gov.my bagi mengetahui kemudahan terdekat untuk membuang tabiat itu,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan pengisytiharan kawasan dimiliki badan bukan kerajaan (NGO) YMCA Ipoh sebagai kawasan larangan merokok.

Kawasan seluas tiga hektar yang mempunyai bangunan pengurusan, bilik penginapan, padang bola sepak, gelanggang tenis dan badminton itu diwartakan sebagai kawasan bebas merokok berkuatkuasa serta-merta.

Boon Chye berkata, kementerian turut mengalu-alukan pemilik premis persendirian untuk mewartakan kawasan mereka sebagai kawasan bebas merokok.

“Memang menjadi hasrat kementerian untuk menggalakkan mereka yang merokok supaya tidak merokok di hadapan orang ramai.

“Jadi, ini (mewartakan kawasan bebas merokok) adalah satu usaha yang baik dan kita juga mengalu-alukan usaha daripada Persatuan Kesihatan Dada Perak untuk menyediakan program berhenti merokok serta memberi pengetahuan mengenai bahaya merokok kepada pelajar sekolah kerana tabiat itu memberi impak kepada kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 5:02 PM