Gambar hiasan
Gambar hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KERAJAAN Persekutuan akan membayar royalti petroleum kepada Kelantan selepas proses penarikan saman oleh kerajaan negeri selesai April ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, royalti minyak itu akan dibayar terus kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, selagi proses perundangan di mahkamah tidak selesai, Kerajaan Persekutuan tidak boleh membayar royalti minyak itu.

“Kita sudah menunaikan janji bahawa royalti minyak ini akan dibayar terus kepada kerajaan negeri.

“Kita juga sudah membayar sepenuhnya royalti minyak kepada kerajaan Terengganu.

“Hasil perbincangan saya dengan Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) hari ini, kerajaan negeri memulakan prosiding untuk menarik balik saman berkenaan dan proses kini sudah bermula yang dijangka selesai April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Program ‘Ministerial Talk Series’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

MOHAMED Azmin bersalaman dengan warga UMK ketika hadir pada Program 'Ministerial Talk Series' di Dewan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMED Azmin bersalaman dengan warga UMK ketika hadir pada Program 'Ministerial Talk Series' di Dewan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mohamed Azmin berkata, proses menarik balik saman mengambil masa, dalam pada itu peguam Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri sedang meneliti dokumen berkaitan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Oktober tahun lalu menarik balik tuntutan saman royalti minyak yang pernah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2011 terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kerajaan Persekutuan.

Ahmad dilaporkan berkata, penarikan saman itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan negeri selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara yang berjanji untuk menyerahkan bayaran tunai petroleum kepada negeri yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:32 PM