Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pendaftaran pelajar baru Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dilakukan secara pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Pelajar juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan mengimbas kod MySejahtera selain ibu bapa tidak dibenarkan menghantar anak mereka ke dalam kampus.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, bagi pelajar dari Sabah dan zon merah pula diwajibkan menjalani kuarantin selama dua minggu di kawasan asrama yang disediakan khas.

"Setiap pelajar diberikan satu bilik dan perlu memakai gelang merah jambu sebagaimana diwajibkan dan kita sediakan pusat kesihatan yang akan sentiasa bersedia membantu mereka selain mengemaskini maklumat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sesi pengajian diteruskan seperti biasa cuma sebab peningkatan kes Covid-19, pengajian dijalankan secara dalam talian, pendaftaran kita buka secara talian dan daftar fizikal ke kampus bagi memudahkan urusan pelajar," katanya ketika ditemui dalam sidang media di UMK Kampus Kota, di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu diambil kerana ada pelajar khususnya di kawasan pedalaman dan jauh dari UMK mendaftar secara fizikal dan mahu berada di asrama kerana faktor ketiadaan akses Internet dan faktor kewangan keluarga.

"Jadi mereka memilih untuk berada di kampus, kita bersedia menerima mereka namun wajib mematuhi SOP seperti perlu jalani kuarantin selama dua minggu bagi pelajar dari Sabah dan zon merah dengan kos makan minum ditanggung pihak universiti," katanya.

Beliau berkata, bagi sesi pengambilan September 2020/21, UMK bakal menerima kemasukan 3,192 pelajar pasca siswazah pelbagai kursus daripada seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah itu 150 pelajar adalah daripada Sabah dan sehingga jam 11 tengah hari tadi, seramai 2,000 pelajar sudah mendaftar secara dalam talian dan 60 belajar mendaftar secara fizikal iaitu hadir ke tiga kampus UMK iaitu di Kampus Kota, Bachok dan Jeli.

"Bagi pelajar yang mendaftar secara fizikal, ada yang selepas daftar terus pulang dan ada yang mahu terus tinggal di asrama dan angka yang tinggal di asrama kita belum ada kerana pendaftaran akan berakhir jam 5 petang ini," katanya.

Noor Azizi berkata, selain mengambil langkah keselamatan dan kesihatan terhadap pelajar, UMK turut menyediakan akses Internet secara percuma kepada pelajar dalam kampus bagi menjalani pembelajaran atas talian sepanjang musim Covid-19.

Katanya, pihaknya sudah mempertingkatkan perluasan penggunaan Internet yang boleh diakses hampir 10,000 pelajar dalam satu masa.

UMK turut menyediakan talian hotline khas kepada pelajar sepanjang musim Covid-19 bagi membantu mereka sekiranya mempunyai masalah berkaitan kewangan dan sebagainya.

 Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail melihat prosedur pendaftaran secara pandu lalu kepada Nur Khairyah Mohd Nizam,20 pelajar baru daripada Pulau Pinang yang mendaftar sebagai pelajar UMK di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa. FOTO NOR AMALINA ALIAS
Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Noor Azizi Ismail melihat prosedur pendaftaran secara pandu lalu kepada Nur Khairyah Mohd Nizam,20 pelajar baru daripada Pulau Pinang yang mendaftar sebagai pelajar UMK di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa. FOTO NOR AMALINA ALIAS

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 3:50 PM