Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket membekalkan tenaga kerja asing menerusi pengeluaran dokumen dan pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu di Klang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket dipercayai beroperasi sejak lapan bulan lalu dan mengaut keuntungan sehingga RM880,000.

Beliau berkata, risikan tiga bulan dan penyamaran anggota penguat kuasa imigresen sebagai pekerja asing dan majikan, membuahkan hasil apabila tujuh suspek berusia 28 hingga 50 tahun termasuk dalang utama sindiket yang juga warga Bangladesh ditahan.

Katanya, modus operandi sindiket ialah menubuhkan syarikat pembinaan dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa, syarikat atau majikan yang memerlukan tenaga kerja serta pekerja asing yang terdesak untuk mendapatkan majikan.

"Sindiket menyasarkan warganegara asing yang tidak mempunyai PLKS yang sah atau mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

"Setiap pekerja asing perlu membayar

antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi mendapatkan pelekat PLKS dan pekerja asing ini kemudian akan dibekalkan kepada kilang atau syarikat lain yang memerlukan pekerja," katanya pada sidang media, hari ini.

Turut dirampas 62 pasport pelbagai negara serta 17 pasport Bangladesh disyaki palsu, 13 PLKS disyaki palsu dan wang tunai berjumlah RM 234,000 serta kenderaan pacuan empat roda bernilai RM120,000.

Katanya, suspek disiasat mengikut Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

"Lima daripada suspek yang juga warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya manakala dua suspek warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan di bawah akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 7:28 PM