BERNAMA

Bukit Mertajam: Seorang lelaki cedera parah selepas diserang dan dipukul dua rakannya di depan deretan kedai di Taman Limau Manis di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.45 malam ketika mangsa yang berusia 49 tahun sedang minum di sebuah kedai apabila dua rakannya datang.

“Mereka menarik mangsa keluar dari kedai dan memukulnya. Ketika kejadian, ada beberapa pelanggan namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana dua lelaki berkenaan memberi amaran supaya tidak masuk campur hal berkenaan jika tidak mahu dicederakan," katanya.

Beliau berkata, mereka kemudian meninggalkan mangsa terbaring berlumuran darah di depan kedai dan mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Rusli berkata, mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu, cedera parah di kepala dan dilaporkan koma.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 43 dan 54 tahun di sini, bagi membantu siasatan.

“Polis tidak menolak kemungkinan pergaduhan akibat perselisihan faham serta dendam antara mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 7:35 PM