PENUNGANG motosikal maut selepas berlanggar dengan lori. FOTO ihsan Polis
PENUNGANG motosikal maut selepas berlanggar dengan lori. FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENUNGGANG motosikal maut selepas melanggar lampu isyarat merah dan berlanggar dengan lori di simpang empat Jalan Persiaran Nusa Sentral, Iskandar Puteri, semalam.

Kejadian 3.50 petang itu mengakibatkan penunggang motosikal, Lim Shiang Ren, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pembonceng motosikal, Ng Ling Sing, 24, terselemat, namun mengalami keceraan pada tangan kanan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan dipercayai berpunca akibat lelaki yang menunggang motosikal itu tidak berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Jalan Sentral 28 menghala ke Jalan Sentral 3 melanggar lampu isyarat merah.

“Kenderaan itu kemudian melanggar bahagian hadapan kanan lori yang datang dari arah Bukit Indah menghala ke Gelang Patah,” katanya mengesahkan kemalangan itu, hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, mangsa dan pemboncengnya, tercampak ke tengah jalan.

Beliau berkata, mangsa yang juga pekerja gudang di Singapura itu disahkan maut di lokasi, manakala pemboncengnya yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 9:14 AM