ZAKARIA menunjukkan ikan talang seberat 6.3kg berjaya dipancing di benteng pemecah ombak Tanjung berdekatan jambatan angkat di muara selatan Bandaraya Kuala Terengganu, kelmarin. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
ZAKARIA menunjukkan ikan talang seberat 6.3kg berjaya dipancing di benteng pemecah ombak Tanjung berdekatan jambatan angkat di muara selatan Bandaraya Kuala Terengganu, kelmarin. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PERCUBAAN tukang rumah memancing di benteng pemecah ombak Tanjung berhampiran jambatan angkat (drawbridge) di muara selatan Bandaraya Kuala Terengganu membuahkan hasil apabila berjaya menjinakkan ikan talang seberat 6.3 kilogram (kg) pagi kelmarin.

Ikan talang atau dikenali sebagai queen fish itu ialah ikan kedua dinaikkan Zakaria Mohd Ali, 43, selepas berjaya menaikkan spesis sama seberat 4.5kg di lokasi berkenaan, Isnin lalu.

Zakaria atau lebih mesra dipanggil Pok Ya berkata, dia hanya mencuba nasib memancing ikan talang berhampiran jambatan angkat yang sedang dalam pembinaan itu dan bertuah apabila berjaya menaikkan ikan jenis sama dua hari berturut-turut.

“Sejak dahulu lagi, kawasan ini menjadi tempat kaki pancing, tetapi ini kali pertama dua ikan talang bersaiz besar berjaya dijinakkan di sini.

“Sebelum ini, saya pernah mendaratkan ikan siakap putih dan merah berdekatan kawasan ini dengan ikan siakap putih seberat 13kg pernah dipancing tahun lalu,” katanya.

Pok Ya berkata, dia memancing menggunakan teknik ‘casting’ dan mula memancing seawal 7 hingga 8 pagi kerana ikan itu hanya menyambar umpan sotong tiruan yang digunakan pada awal pagi.

Katanya, kewujudan benteng pemecah ombak dan jambatan angkat itu menjadikan kawasan berkenaan sebagai lubuk ikan bersaiz besar.

“Sebelum ini, kaki pancing ketandusan lokasi untuk memancing, tetapi sejak adanya benteng pemecah ombak dan jambatan angkat ini, ia memberi peluang kepada kami melepaskan gian memancing.

“Kami tidak perlu lagi ke tempat jauh untuk memancing kerana lokasi ini sudah berpotensi menaikkan ikan bersaiz besar,” katanya.

Menurutnya, dua ikan talang yang dipancingnya itu dijual kepada rakan dengan harga RM6 sekilogram.

Katanya, kebiasaannya ikan talang sedap dimasak gulai lemak nenas atau digoreng tawar dan dimakan bersama budu.

“Alhamdullilah, bukan sahaja dapat melepas gian sebaliknya dapat menambah pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 12:46 AM