FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

PENOREH getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pekan, hari ini, atas tuduhan membunuh anak tirinya bulan lalu.

Tertuduh Muhamad Alias Othman, 55, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Hafiz Firdaus, 5, dengan menggunakan kayu pokok getah dan memijak badan mangsa sehingga menyebabkannya tidak sedarkan diri.

Dia melakukan kesalahan itu di dalam kebun getah Kampung Air Hitam, Paloh Hinai, di Pekan, antara jam 10.30 pagi hingga 1 tengahari pada 20 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan

Azizah kemudiannya menetapkan tarikh 5 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan forensik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:36 PM