GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Reuters

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat (AS) memutuskan bahawa produk minyak sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby Plantation tidak lagi menggunakan buruh paksa.

Kenyataan itu dikeluarkan melalui notis di Daftar Persekutuan AS.

Barangan yang dikeluarkan oleh Sime Darby Plantation sebelum ini disekat daripada memasuki AS sejak 2020 kerana disyaki menggunakan buruh paksa.

Tahun lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS berkata, ia mempunyai maklumat yang mencukupi bahawa firma itu menggunakan 'buruh paksa' dan barangan mereka tertakluk kepada rampasan.

Sebagai tindak balas, Sime Darby Plantation melantik perunding perdagangan beretika untuk mengaudit kemudahannya, dan tahun lalu memperuntukkan kira-kira AS$20 juta (RM85.5 juta) untuk membayar pampasan terhadap pekerja asing dan bekas pekerja yang membayar yuran pengambilan untuk mendapatkan pekerjaan di firma itu.

CBP, memetik maklumat tambahan yang diterimanya berkata, ia kini 'menentukan bahawa produk itu tidak lagi dilombong, dikeluarkan, atau dikilang sepenuhnya atau sebahagiannya dengan penggunaan buruh banduan, paksa, atau kontrak oleh Sime Darby Plantation'.

CBP tidak menyatakan bukti yang diterimanya atau sama ada larangan import firma itu sudah ditarik balik.

Agensi itu tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk mendapatkan kenyataan.

Sime Darby pula berkata, ia menyedari notis AS itu.

"Kami optimis bahawa langkah besar yang kami lakukan dalam memperkukuh kualiti hidup tenaga kerja akan diiktiraf oleh CBP AS tidak lama lagi dan kami akan dibenarkan untuk menyambung semula eksport ke AS," kata seorang jurucakap syarikat itu menerusi e-mel kepada Reuters.

Sime Darby Plantation adalah antara lapan firma Malaysia yang disekat oleh AS sejak empat tahun lalu kerana dakwaan buruh paksa.

Malaysia pada 2021 mengumumkan rancangan kerajaan untuk menghapuskan amalan menindas seperti ikatan hutang, asrama tidak bersih untuk pekerja, dan kerja lebih masa yang berlebihan, menjelang 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 12:52 PM