GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


MAYAT lelaki dipercayai warga tempatan ditemui terapung di Kuala Sungai Sempit, Segari, Lumut semalam.

Lelaki berusia 50-an itu ditemui orang awam 1.50 tengah hari yang melalui kawasan berhampiran sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai warga tempatan yang ditemui berpakaian baju t-shirt hitam berkolar dan berseluar jeans pendek.

Menurutnya, mayat ditemui terapung dalam air kira-kira lima meter dari tebing.

“Mangsa disyaki meninggal dunia kurang 24 jam sebelum ditemui orang awam dan pemeriksaan awal tidak menemui kesan cedera.

“Siasatan awal polis menemui pacuan empat roda Toyota Hilux kira-kira 500 meter dari tempat mayat dijumpai dan kunci kenderaan itu turut ditemui dalam saku seluar mangsa,” katanya hari ini.

Muhammad Hanif berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kejadian.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 4:34 PM