WAN Nor Shafiqah (kanan) dan Sharifah Nurhan menghasilkan keropok lekor berintikan sambal hitam Pahang dalam Pertandingan Kemahiran Penghasilan produk kacang  soya, keropok lekor dan roti di Kolej Komuniti Jerantut. FOTO Roselan Ab Malek
WAN Nor Shafiqah (kanan) dan Sharifah Nurhan menghasilkan keropok lekor berintikan sambal hitam Pahang dalam Pertandingan Kemahiran Penghasilan produk kacang soya, keropok lekor dan roti di Kolej Komuniti Jerantut. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


KEROPOK lekor sambal hitam mungkin kedengaran agak pelik namun hasil inovasi dua penuntut Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) yang menggabungkan makanan tradisi Terengganu dan Pahang itu berjaya mencipta kelainan.

Inovasi Wan Nor Shafiqah Wan Ahmad, 19, dan Sharifah Nurhan Aida Syed Mohamed, 19, itu nyata berbaloi apabila mereka dinobatkan sebagai juara bagi kategori Keropok Lekor dalam pertandingan Kemahiran Penghasilan Kacang Soya, Keropok Lekor dan Roti yang diadakan di KKJ, Jerantut, semalam.

Pertandingan itu turut disertai lima lagi Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri ini.

Wan Nor Shafiqah berkata, idea untuk menghasilkan keropok lekor yang berintikan sambal hitam itu timbul secara spontan sebaik pensyarahnya memaklumkan mengenai pertandingan itu.

“Memandangkan saya dan Sharifah Nurhan masing-masing berasal dari Terengganu, keropok lekor bukanlah makanan yang asing namun bagi memberi kelainan kami terfikir apa salahnya menggabungkannya dengan sambal hitam.

“Seperti sedia maklum sambal hitam amat terkenal di Pahang dan pada mulanya kami bimbang hasil gabungan dua makanan itu tidak menjadi namun selepas beberapa kali percubaan, ia menghasilkan rasa yang enak,” katanya ketika ditemui di KKJ, Jerantut, semalam.

Katanya, mereka mendapat bimbingan pensyarah, Ahmad Sabre Osman yang turut sama memberi idea bagi memastikan keropok lekor yang dihasilkan menepati citarasa juri dan orang ramai.

Dia berkata, gabungan rasa lemak masin keropok lekor dan masam pedas sambal hitam itu menghasilkan rasa yang begitu enak dan maklum balas yang diterima dari juri serta peserta lain juga turut memberangsangkan.

“Saya berharap produk kami ini dapat dipasarkan sekali gus memberi kelainan dan banyak pilihan kepada penggemar keropok lekor mahupun sambal hitam,” katanya.

Dalam pada itu, KKJ terus unggul apabila turut memenangi tempat pertama bagi kategori masakan roti dan juga penghasilan kacang soya dalam pertandingan itu.

Nurul Atirah Adnan , 19, dan Maidatul Anizza Mohd Rody, 19, berbangga dengan hasil inovasi mereka iaitu roti bun keledek ungu yang mencampurkan keledek ungu dan hampas nenas ke dalam adunan doh bagi menghasilkan roti berkenaan.

Sementara itu, menu ‘Butterscotch Taufufah dan Cendol’ menjadi tuah bagi Muhammad Izzat Afiq Mohd Putra, 20 dan Maidatul AinnaMohd Rody, 21, danmelayakkan mereka mendapat tempat pertama bagi kategori penghasilan kacang soya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:43 PM