Khalid di majlis pelancaran laluan tambahan bas GoKL Laluan Hab Titiwangsa-Mindef, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Bernama
Khalid di majlis pelancaran laluan tambahan bas GoKL Laluan Hab Titiwangsa-Mindef, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

KEMENTERIAN Wilayah hari ini melancarkan laluan baharu perkhidmatan percuma bas GoKL di Hab Titiwangsa-Mindef (Laluan kelima) yang dinamakan sebagai Laluan Jingga.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata laluan tambahan sepanjang 10.4 kilometer itu bermula dari hab Titiwangsa (Hentian Pekeliling) melalui Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Padang Tembak, Jalan Bukit Keramat, Persiaran Gurney, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Pahang.

“Kerajaan terus mengambil inisiatif dengan merancang dari semasa ke semasa bagi memperluaskan laluan perkhidmatan Bas GoKL dengan mewujudkan laluan tambahan bukan sahaja tumpuan pusat perniagaan tetapi juga kawasan yang berkepadatan penduduk yang tinggi terutamanya bagi golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan kawasan perumahan kos rendah.

“Diharap perkhidmatan bas percuma di laluan strategik ini dapat mengurangkan beban kehidupan warga kota dan mengurangkan kesesakan trafik, memberi keselesaan, keselamatan serta merealisasikan bandar raya yang sihat dan bebas karbon,” katanya pada pelancaran laluan tambahan bas GoKL Laluan Hab Titiwangsa-Mindef, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, laluan keenam pula iaitu Laluan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai-LRT Kerinchi akan dilaksanakan mulai April ini dengan kekerapan bas setiap 15 minit.

Khalid yang juga Anggota Parlimen Shah Alam berkata, sejak bas GoKL diperkenalkan pada 2012, jumlah penumpang seharian adalah seramai 8,450 orang dan jumlahnya meningkat sebanyak 65,145 penumpang atau 671 peratus pada tahun lepas.

Laluan perkhidmatan Bas GoKL sedia ada terdiri daripada empat laluan iaitu Laluan Hijau (KLCC-Bukit Bintang), Laluan Ungu (Pasar Seni-Bukit Bintang), Laluan Merah (Hab Titiwangsa-KL Sentral) dan Laluan Biru (Hab Titiwangsa-Bukit Bintang).

Dalam perkembangan lain, mengenai rancangan untuk menutup sebahagian Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kepada semua kenderaan persendirian kecuali bas awam, beliau berkata perkara itu masih lagi dalam kajian.

Beliau berkata pihaknya akan bertemu dengan Persatuan Peruncit Jalan Batu (Bara) dan Persatuan Perniagaan Jalan Masjid India (Miba) minggu depan bagi mendapatkan pandangan untuk membuat keputusan sebelum 15 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 9:26 PM