DR Khamsa Suryati (tujuh dari kanan) menunjukkan anugerah khas 'The Best Award' bersama pensyarah lain selepas berjaya meraih enam pingat dalam MTE 2019 di PWTC. FOTO ihsan UniSZA.
DR Khamsa Suryati (tujuh dari kanan) menunjukkan anugerah khas 'The Best Award' bersama pensyarah lain selepas berjaya meraih enam pingat dalam MTE 2019 di PWTC. FOTO ihsan UniSZA.
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima anugerah khas ‘The Best Award’ selain meraih enam pingat dalam Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Februari lalu.

Anugerah khas itu diperoleh menerusi produk ‘PROPOPLUS: Trigona Beauty’ iaitu set penjagaan kulit berasaskan propolis kelulut hasil ciptaan pensyarah Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Prof Madya Dr Khamsah Suryati Mohd.

Khamsah berkata, produk dicipta itu adalah hasil kajian lebih enam tahun terhadap propolis kelulut.

“Sebelum ini propolis hanya dibuang kerana kurang pengetahuan teknologi dalam kalangan penternak kelulut terhadap proses pengekstrakannya.

“Bagaimanapun kajian membabitkan empat geran penyelidikan dan penghasilan lebih 10 penerbitan ini membuktikan potensi tinggi propolis kelulut mengandungi bahan amat sesuai untuk dijadikan produk penjagaan kulit,” katanya.

Menurutnya, set penjagaan kulit ‘Propoplus Cosmetics’ yang terdiri daripada pencuci muka, toner dan pelembab dua dalam satu itu dihasilkan melalui formulasi khas.

“Produk berkenaan tidak memudaratkan kulit pengguna dan sesuai dipakai untuk semua jenis kulit serta mesra wuduk,

“Paten bagi produk ini sudah difailkan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysi (MyIPO),”katanya.

Beliau berkata, produk itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bersedia untuk memasuki pasaran.

Menurutnya, UniSZA melantik syarikat YMR International Marketing Sdn Bhd sebagai syarikat pemasaran bagi produk itu.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr R Badlishah Ahmad berkata, UniSZA menghantar 10 penyertaan membabitkan sembilan penyelidik ke MTE kali ini.

“Kami bersyukur kerana daripada 10 penyertaan itu, kami berjaya meraih satu anugerah khas, dua pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa.

“UniSZA sentiasa berusaha menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada agensi kerajaan, masyarakat dan industri,” katanya.

Beliau berkata, selain mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi UniSZA, peluang itu digunakan untuk mencari rakan kerjasama strategik bagi produk dan teknologi yang dibangunkan.

MTE 2019 adalah pameran inovasi paling menonjol di Asia kerana berjaya menarik 8,000 pengunjung dan lebih daripada 500 penyertaan daripada pelbagai negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 1:48 AM