R Badlishah Ahmad
R Badlishah Ahmad
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih 49 pingat ketika Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) yang berlangsung pada 22 Mac dan berakhir semalam.

Institusi pengajian tinggi itu meraih 17 pingat emas, 17 pingat perak dan 15 pingat gangsa termasuk satu merit ketika pameran inovasi yang menarik lebih 500 penyertaan termasuk institusi pengajian di luar negara.

Ia termasuk satu anugerah khas menerusi 'sistem pengukuran bahan dielektrik' hasil kajian sekumpulan penyelidik Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Komunikasi Termaju (ACE).

Naib Canselornya, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, UniMAP meraih satu anugerah khas menerusi kumpulan berkenana yang diketuai oleh Dr Lee Yeng Seng bersama tujuh lagi penyelidik lain.

"Anugerah ini daripada Rangkaian Inovasi dan Pencipta Turki (TIIN) menerusi sistem berkenaan yang merangkumi peralatan dielektrik khas, kit penentu ukuran, pemegang sampel dan perisian antaramuka yang mesra pengguna.

"Sistem berkenaan mampu untuk membuat pengiraan terhadap sifat dielektrik pepejal, separa pepejal iaitu serbuk dan bentuk cecair daripada bahan yang melebihi julat frekuensi 1 GHz hingga 20Ghz," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anugerah serta pingat itu adalah bukti bahawa UniMAP sentiasa mementingkan budaya inovasi sekali gus mengukir kecemerlangan di pelbagai peringkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 1:20 PM