DELEGASI Malaysia ke Pameran Rekacipta Antarabangsa Geneva bersama Presiden dan pengasas acara itu, Jean-Luc Vincent (tujuh dari kanan) dan Pengarahnya, Caroline Simonet (sembilan dari kanan).
DELEGASI Malaysia ke Pameran Rekacipta Antarabangsa Geneva bersama Presiden dan pengasas acara itu, Jean-Luc Vincent (tujuh dari kanan) dan Pengarahnya, Caroline Simonet (sembilan dari kanan).

Kuala Lumpur: Delegasi Malaysia meraih satu pingat emas dan tiga perak di Pameran Rekacipta Antarabangsa Geneva ke-49 di Palexpo, Geneva, Switzerland, yang bermula Rabu lalu hingga hari ini.

Pingat emas dimenangi Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia yang membangunkan teknologi 'Rejuvenating Global Wealth via Remineralisation'. 

Teknologi rekacipta yang dibentangkan oleh Dr Rohaya Othman dan Dr Emee Marina Salleh itu turut menerima Anugerah Khas Juri pameran berkenaan dan Anugerah Khas (berpotensi untuk meningkatkan kehidupan manusia) dari Taiwan Invention Association (TIA).

Projek inovasi itu berteraskan teknologi penghasilan Kalsium Karbonat Termendak (PCC) dengan mengitar semula sisa kapur karbida dari industri asetilena. 

Melalui pemineralan semula ini, PCC digunakan sebagai bahan pengisi lestari yang 'versatile' dalam pelbagai produk komersial.

Sementara itu, teknologi yang dibangunkan hasil kerjasama Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dengan Group Technical Solution Petronas memenangi pingat perak. 

Ia juga menerima Anugerah Inovasi Terbilang dari Universiti King Abdulaziz, Arab Saudi.

Syarikat Adastra Intellectual Property Sdn Bhd memenangi satu pingat perak serta Anugerah Khas daripada National Research Council of Thailand, manakala satu lagi pingat perak dimenangi Samurai 2K Aeorosol Sdn Bhd yang turut menerima Anugerah Khas daripada National Research Council of Thailand dan TIA.

Dalam pada itu, satu majlis penghargaan dan penyampaian pingat berprestij itu kepada pemenang turut diadakan hari ini.

Ia disempurnakan Presiden yang juga pengasas Pameran Rekacipta Antarabangsa Geneva, Jean-Luc Vincent diiringi Pengarahnya, Caroline Simonet.

Penyertaan delegasi Malaysia ke acara itu diuruskan Dr Wan Manshol W Zin dari Wan Global Invention & Innovation Enterprise.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:47 PM