Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki berdepan detik cemas apabila hampir menjadi mangsa rompakan sekumpulan penjenayah menaiki motosikal di rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, dalam kejadian jam 4.05 petang itu, mangsa, pesara swasta berusia 56 tahun dikatakan mahu keluar dari rumahnya sebelum menyedari empat motosikal dinaiki tujuh lelaki berlegar-legar di sekitar kawasan rumahnya.

“Dua daripada suspek kemudian terus berlari ke arah mangsa dan masuk ke kawasan letak kenderaan di rumahnya dengan membawa parang.

“Mangsa yang ketakutan terus masuk ke dalam rumah dan bertindak menutup dan mengunci pintu hadapan.

“Kedua-dua lelaki itu mengetuk pintu berkenaan dengan menggunakan parang dan memecahkan cermin pada bahagian tepi rumah selain membocorkan tayar Suzuki Swift milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, suspek melarikan diri selepas mangsa dan ahli keluarganya menjerit meminta tolong.

“Akibat kejadian itu, pintu dan cermin hadapan rumah mangsa rosak serta tayar bocor.

“Siasatan lanjut mendapati ada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan semakan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek.

“Tiada kecederaan dialami mangsa dan usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan merompak,” katanya.

Beberapa gambar dan video daripada rakaman CCTV di lokasi kejadian tular selepas dimuat naik di media sosial sejak semalam.

Ekoran gambar dan video tular terbabit, ada beberapa status di media sosial yang mendakwa kumpulan penjenayah terbabit dengan kejadian rompakan bersenjata di Taman Sri Medan, Klang pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 12:01 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan penjenayah menaiki motosikal di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, Serdang, semalam. FOTO media sosial
RAKAMAN CCTV menunjukkan penjenayah menaiki motosikal di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, Serdang, semalam. FOTO media sosial