Shamsul Munir Safini


IDENTITI lelaki yang terjatuh daripada feri Pulau Pinang baru-baru ini dikenal pasti sebagai warga Myanmar berdasarkan maklumat diberikan rakannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa adalah pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya, maklumat awal polis adalah hasil panggilan telefon kepada rakan mangsa melalui maklumat di telefon bimbit yang dijumpai bersamanya.

Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai penjual sayur di Butterworth.

“Motosikal mangsa juga didakwa ditinggalkan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

“Polis juga sedang mengesan majikan mangsa dan maklumat lanjut akan disemak dengan pihak UNHCR,” katanya.

Dalam kejadian 15 Februari lalu, mangsa dilaporkan terjatuh jam 9.20 pagi dari feri penumpang di kedudukan 0.8 batu nautika Barat Laut Terminal Feri Butterworth.

Video mangsa yang terjatuh dari feri itu tular di laman sosial sebelum ditemui jam 10 pagi Ahad lalu oleh orang awam berhampiran Jeti Swettenham.

Polis hanya menemui kunci motosikal, wang RM1 dan sebuah telefon bimbit bersama mangsa.

Berita berkaitan

Mayat mangsa jatuh feri ditemui [METROTV]

Penumpang terjatuh dari feri [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 1:25 PM