Recqueal Raimi


STOR penyimpanan alat pemprosesan daging ayam di Kampung Tambalugu, Tamparuli, di Tuaran, terbakar tengah malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian 12.50 tengah malam itu, ratusan ayam ternakan yang ditempatkan bersebelahan stor berkenaan berjaya diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.58 tengah malam sebelum mengerahkan dua jentera bersama 12 anggota ke lokasi kejadian.

Katanya sebaik tiba, pihaknya mendapati stor jenis tidak kekal itu sudah terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman segera dijalankan.

“Stor berkenaan menyimpan alat-alat untuk memproses daging ayam dan ketika kejadian tiada pekerja ataupun pemilik di dalam premis berkenaan.

“Kecekapan pasukan bomba mengawal api berjaya menghalang api dari merebak ke kilang bersebelahan yang hanya sejauh kira-kira lima meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Qawie berkata, Jabatan Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan anggaran kerugian dalam kejadian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 12:46 PM