ANGGOTA APM memotong dua pokok yang tumbang mengenai stor milik penduduk di Kampung Rongolis Topokon, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
ANGGOTA APM memotong dua pokok yang tumbang mengenai stor milik penduduk di Kampung Rongolis Topokon, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


EMPAT sekeluarga cemas apabila pokok 15 meter menghempap atap stor rumah mereka dalam kejadian di Kampung Rongolis, Tuaran.

Stor tempat penyimpanan perabot dan barangan lama keluarga terbabit ranap sepenuhnya, pada kejadian kira-kira 5 pagi semalam.

Mangsa, Jessica Upat @ Lingga, 35, berkata sebaik terdengar bunyi dentuman, mereka segera keluar untuk meninjau keadaan rumah.

Bagaimanapun, katanya, sebaik keluar mereka mendapati stor tempat menyimpan perabot lama ranap manakala sebahagian ranting pokok juga hampir terkena rumah mereka.

"Mujur pokok sebesar ini tidak tumbang menghempap rumah, lebih-lebih lagi ketika itu kami sekeluarga masih berada di dalam rumah.

"Sebaik menyedari kejadian itu, kami terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan segera," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tuaran, Paulina Francis, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.38 pagi.

Sebaik tiba, kita mendapati pokok tumbang dan menghempap stor rumah pengadu sebelum memulakan operasi mengalih pokok berkenaan.

“Anggota APM memerlukan kira-kira 40 minit untuk memotong dan mengalihkan dahan pokok yang tumbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 9:40 AM