Mayat wanita berusia 47 tahun yang terjun dari tingkat 12 di sebuah hotel di Taipan, Inanam. FOTO Ihsan Polis
Mayat wanita berusia 47 tahun yang terjun dari tingkat 12 di sebuah hotel di Taipan, Inanam. FOTO Ihsan Polis
Fardy Bungga


SEORANG wanita yang dipercayai mengalami masalah gangguan mental maut selepas terjun dari sebuah bangunan hotel dalam kejadian di Taipan, Inanam, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, wanita berusia 47 tahun dikatakan ke hotel berkenaan untuk bertemu rakannya di restoran yang terletak di tingkat 12.

Bagaimanapun, dia dikatakan ke bahagian balkoni hotel sebelum bertindak terjun dari bangunan berkenaan.

Kejadian tragis itu sempat disaksikan beberapa pekerja hotel, namun mereka gagal menghalang wanita terbabit daripada terjun kerana insiden berlaku terlalu pantas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.32 pagi dan mengerahkan sepasukan polis ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, mangsa didapati tidak sedarkan diri di parkir di tingkat bawah bangunan berkenaan.

“Maklumat awal, wanita terbabit adalah rakyat tempatan beralamat di Luyang. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan wanita ini sudah meninggal dunia pada jam 10.57 pagi.

“Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 3:57 PM