Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Lelaki berusia 70 tahun maut selepas dirempuh lori ketika melintas di Jalan Tuaran Lama berhampiran KK Taipan, di sini, 8.20 pagi ini.

Ayau Lobinjang, 70, dipercayai meninggal dunia di lokasi.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan melintas dari kiri ke kanan jalan sebelum dirempuh sebuah lori.

Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia serta merta oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Azhar Hamin, ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-242111 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 11:34 AM