SHAH ALAM: Satu memorandum diserahkan kepada kerajaan Selangor bagi meminta campur tangan mengenai keselamatan penduduk di empat daerah dalam kawasan pembinaan lebuh raya di Jalan Persekutuan 5 (FR5).

Memorandum itu dihantar bagi menyatakan keresahan penduduk mengenai banyak kemalangan termasuk membabitkan kematian dan laporan kerosakan kenderaan yang diterima di Tanjung Karang, Sekinchan, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak FR5 Ahmad Zhafri Md Noor berkata, sejak projek itu dijalankan bermula Julai 2015, 1,657 kemalangan dilaporkan berlaku termasuk 49 kes maut.

“Susulan itu, kami membuat tuntutan dan memberi masa dua minggu dalam pertemuan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor berkaitan pada 16 November tahun lalu.

IZHAM (lima dari kanan) menerima memorandum daripada Ahmad Zhafri  (tiga dari kiri) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam.
IZHAM (lima dari kanan) menerima memorandum daripada Ahmad Zhafri (tiga dari kiri) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam.

“Dalam tuntutan itu, kami meminta tujuh perkara antaranya menampal lubang jalan dalam 24 jam, meletakkan tanda dengan jelas, meletakkan lampu di kawasan kerap berlaku kemalangan dan membuat rondaan keselamatan.

“Namun, perkara itu tidak diendahkan, sekali gus menyebabkan kami terpaksa meminta pertolongan kerajaan negeri untuk campur tangan kerana ia turut membabitkan keselamatan nyawa penduduk,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum itu di pejabat SUK di sini, semalam.

Ia diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim.

Sementara itu, Izham berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai masalah projek FR5 di kawasan berkenaan.

“Namun, projek itu di bawah Kerajaan Persekutuan dan laporan JKR memaklumkan ia agak lewat atau sukar disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Saya akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Kerja Raya dalam masa terdekat bagi meneliti dan mengambil langkah yang perlu bagi menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:14 AM