Skuad Khas Harian Metro


KIRA-KIRA 500 nelayan dari pantai timur dan utara tanah air berkumpul di luar bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini untuk menyerahkan memorandum berkaitan isu nelayan asing dan pencerobohan perairan.

Mereka yang masing-masing tiba tengah malam tadi dari Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis berhimpun secara aman sebagai menyatakan solidariti terhadap isu itu.

Polis turut mengawal kawasan itu yang menyaksikan kain rentang dinaikkan dan suara rayuan nelayan yang berharap nasib mereka diperjuangkan kerajaan.

Mereka dijangka menyerahkan memorandum itu kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

POLIS mengawal himpunan yang dihadiri 500 nelayan pantai timur dan utara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
POLIS mengawal himpunan yang dihadiri 500 nelayan pantai timur dan utara. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Antara kandungan memorandum adalah bantahan nelayan terhadap penggunaan pukat tunda; meminta pembatalan segera lesen ali baba nelayan asing selain mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dalam isu itu.

Sebelum ini, Harian Metro dalam laporan ekslusif bersiri mendedahkan wujud komplot mencuri hasil laut negara melalui kegiatan bot klon dan lesen ali baba.

Kegiatan yang berleluasa sejak beberapa tahun lalu dikatakan kebal undang-undang kerana dalangnya rakyat Vietnam didakwa menetap di negara ini dan mendapat bantuan ‘orang dalam’ iaitu pihak berkuasa sendiri.

Pendedahan itu mendapat perhatian Dewan Rakyat yang seterusnya meluluskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019, minggu lalu.

Susulan itu, kerajaan juga memberi amaran kapal penangkap ikan asing bakal berdepan tindakan termasuk dihapus atau ditenggelamkan jika melanggar peraturan menerusi polisi baru yang akan dirangka tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 9:39 AM
SEBAHAGIAN nelayan memegang kain rentang di laluan masuk ke bangunan Parlimen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
SEBAHAGIAN nelayan memegang kain rentang di laluan masuk ke bangunan Parlimen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.