Zatul Iffah Zolkiply

KEENGGANAN suami isteri membuka pintu kereta Perodua Myvi yang dinaiki ketika pemeriksaan polis di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, membawa kepada penemuan sepaket dadah jenis syabu.

Insiden itu berlaku kira-kira 11.30 pagi semalam, ketika anggota yang meronda sempena Ops Tapis Narkotik melihat kereta berkenaan diletakkan di tepi jalan berhampiran restoran makanan segera, dalam keadaan mencurigakan.

Sumber berkata, anggota kemudian menghampiri untuk tujuan pemeriksaan dan mengarahkan lelaki berusia 25 tahun membuka pintu, tetapi suspek enggan beri kerjasama meskipun tiga kali diberi amaran.

“Keengganan suspek menyebabkan anggota terpaksa memecahkan cermin hadapan kereta itu sebelum suspek dan isterinya berusia 29 tahun yang duduk di tempat duduk hadapan membuka pintu.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar berisi serbuk serta ketulan kristal disyaki dadah yang disorokkan dalam ruangan simpanan barang di bahagian tengah kereta itu,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif membenarkan dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:40 PM