WANITA warga Indonesia berusia 24 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman selepas dipercayai terbabit dalam kes pelacuran. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
WANITA warga Indonesia berusia 24 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu bagi mendapatkan perintah reman selepas dipercayai terbabit dalam kes pelacuran. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


KEGIATAN seorang wanita Indonesia yang mempromosikan khidmat seks menerusi aplikasi WeChat terbongkar selepas ditahan dalam serbuan ketika Ops Noda di hotel di bandar raya Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada 11.50 malam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya telefon bimbit, beberapa kondom sudah dan belum digunakan serta wang tunai RM400 dipercayai hasil kegiatan pelacuran ditawarkan.

Menurut sumber, serbuan dilakukan polis hasil maklumat dan risikan dijalankan mengenai aktiviti tidak bermoral dijalankan secara atas talian di hotel berkenaan.

Katanya, ketika serbuan dibuat, wanita terbabit hanya memakai tuala tanpa baju bersama pelanggannya.

“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa kondom yang belum dan sudah digunakan di dalam tong sampah sebelum suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

“Difahamkan, suspek mengaku masuk ke hotel berkenaan pada 5.15 petang hari sama dan sudah melayan beberapa pelanggan sebelum dicekup.

“Suspek dipercayai menggunakan aplikasi WeChat dengan bayaran RM200 bagi lelaki hidung belang yang mahukan perkhidmatannya," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 3:06 PM