Mohd Hilmie Hussin

“RISAU saya sebab malam sebelum mak hilang, dia tak makan,” kata Engku Airil Azuan Tengku Adzhar, 31, anak bongsu Rosiah Mansor, 53, yang hilang dari rumahnya di Lorong Solok Terentang, Kampung Jus, Jasin, sejak tiga hari lalu.

Engku Airil berkata, lauk-pauk dan nasi yang terhidang di atas meja makan tidak terusik menambahkan lagi kebimbangannya terhadap keadaan ibunya itu.

Katanya, dia dan saudara-mara tidak menyangka Rosiah akan menghilangkan diri kerana sebelum ini tidak pernah menunjukkan tanda pelik dan mencurigakan.

“Ibu saya memang tidak pernah keluar dari kawasan rumah, apatah lagi pada waktu pagi ketika kehilangannya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Engku Airil berkata, kira-kira 10 malam sebelum kehilangan ibunya, dia pulang ke rumah namun, pintu berkunci dan ibunya tidak menjawab panggilan menyebabkan dia tidur di luar.

Bagaimanapun, kehilangan disedari pagi esoknya dan dia memaklumkan kepada polis selain pasukan penyelamat.

Katanya, orang kampung turut membantu mencari wanita itu dan operasi mencari dan menyelamat digerakkan pada Sabtu.

Sementara itu, adik Rosiah, Suria, 39, mendakwa, masalah kemurungan mahupun perceraian kakaknya tiada kaitan dengan kehilangan wanita itu.

“Perceraiannya sudah berlaku kira-kira 30 tahun lalu dan sejak itu, kakak tidak menunjukkan tanda kemurungan pun.

“Ya mungkin hospital ada sahkan dia sakit sebelum ini, termasuk pernah sawan dan histeria, tetapi sudah lama tidak berlaku, malah dia (Rosiah) seorang yang periang,” katanya.

Sebelum kehilangan itu, Rosiah dilihat seperti biasa, periang dan suka bergurau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini diperluas ke empat kilometer persegi, berbanding 500 meter persegi semalam.

SAR ditangguhkan kira-kira 6 petang tetapi jika ada petunjuk baharu, kita akan mulakan carian,” katanya.

Berita berkaitan

'Ibu tunggal kemurungan hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 8:48 PM
Khidmat anjing pengesan turut digunakan untuk menjejaki Rosiah. FOTO Rasul Azli Samad.
Khidmat anjing pengesan turut digunakan untuk menjejaki Rosiah. FOTO Rasul Azli Samad.
Engku Airil menunjukkan MyKad ibunya, Rosiah. FOTO Rasul Azli Samad.
Engku Airil menunjukkan MyKad ibunya, Rosiah. FOTO Rasul Azli Samad.