ROSIAH ditemui pasukan SAR. FOTO Ihsan Bomba
ROSIAH ditemui pasukan SAR. FOTO Ihsan Bomba
Nur Saliawati Salberi


SELEPAS lebih 48 jam dilaporkan hilang, seorang ibu tunggal ditemui selamat di tepi sebuah lombong di perkampungan orang asli di Kampung Jus, Jasin, hari ini.

Rosiah Mansor, 52, ditemui jam 9.50 pagi kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya di Lorong Kampung Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, penduduk yang menemui mangsa kemudian memaklumkan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri.

“Sejurus selepas itu, pasukan SAR yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian menemui mangsa berada dalam keadaan sedikit lemah.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jasin untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, ibu tunggal itu dilaporkan hilang selepas dia kali terakhir dilihat berlegar-legar di perkarangan rumahnya.

Kehilangan mangsa dikatakan disedari oleh anak lelakinya yang berusia 32 tahun selepas menyedari pintu rumah ibunya terbuka.

Susulan kehilangan mangsa, operasi SAR membabitkan 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM), Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Saya risau keadaan mak' [METROTV]'

'Ibu tunggal kemurungan hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:52 PM