Zuliaty Zulkiffli


CUBAAN menyeludup kira-kira satu tan daun ketum ke Kelantan malam tadi gagal apabila kebun getah yang dijadikan tempat menyimpan di Kampung Lam Din, Naka, Padang Terap, diserbu pihak berkuasa, malam tadi.

Dalam serbuan jam 11.30 malam tadi, anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah yang diketuai Inspektor Ananda Krishnan menyerbu kebun getah dan merampas daun ketum bersama kenderaan bernilai RM140,000.

Komander AKSEM Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata, ketika serbuan dilakukan, dua suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggotanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan lanjut dalam khemah dan menemui sejumlah beg plastik hitam yang berisi plastik putih disyaki daun ketum di dalamnya.

“Selain itu kami menemui sebuah kereta jenis Honda FD hitam yang diletakkan di belakang khemah itu dan pemeriksaan lanjut kemudian menemui sejumlah plastik hitam disyaki daun ketum di bahagian tempat duduk kereta itu.

“Selepas menunggu hampir sejam, tiada sesiapa pun datang untuk mengambil kereta berkenaan menyebabkan kami merampas kereta itu untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Abd Latif berkata, jumlah bungkusan plastik lut sinar itu adalah sebanyak 118 bungkus termasuk dalam khemah dan kereta terbabit yang bernilai sekitar RM50,000.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut merampas sebuah motosikal Yamaha 125Z yang bernilai RM10,000 yang dipercayai digunakan untuk penyeludupan ketum itu.

“Hasil siasatan mendapati, daun ketum itu dipercayai dipetik dari ladang di kawasan kebun getah itu sebelum siap 98 peratus dibungkus untuk dihantar ke Kelantan disebabkan permintaan tinggi di sana.

“Selain itu kita percaya berkemungkinan besar ada kenderaan lain turut datang ke kawasan itu untuk mengutip bungkusan daun ketum itu ke Kelantan untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.

Abd Latif berkata, pihaknya percaya mungkin daun ketum itu untuk dijual ke Thailand melalui Kelantan kerana penjualan di negara jiran mampu mencecah dua kali ganda dari negara ini.

Beliau berkata, semua barangan rampasan dibawa pulang ke pejabat AKSEM di sini sebelum dihantar semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Abd Latif berkata, ini adalah rampasan terbesar membabitkan daun ketum tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 2:44 PM
ABD Latif menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas. FOTO  Sharul Hafiz Zam
ABD Latif menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam