WONG (kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika berkempen sekitar Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF
WONG (kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika berkempen sekitar Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini. Foto ABDULLAH YUSOF
BERNAMA

PENIAGA di sekitar Kea Farm, Cameron Highlands ‘dikejutkan’ dengan kelibat seorang lelaki bertopi mengkuang memegang cangkul dan menyapa orang ramai.

Bergerak aktif bagaikan lipas kudung dengan tubuh badan kurus, lelaki itu lincah menyantuni peniaga dan sempat bergelak ketawa dengan mereka, namun cangkul itu tidak dilepaskan daripada genggamannya.

Namun, cangkul itu bukanlah cangkul sebenar, tetapi replika cangkul yang dihasilkan menggunakan kadbod sahaja.

Kecil tapi unik, cangkul yang digunakan oleh calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Wong Seng Yee sebagai bahan kempen yang penuh bermakna.

Wong ketika ditemui selepas menyantuni masyarakat di Kea Farm berkata, idea replika cangkul diutarakan pengurus kempennya yang berpendapat imej cangkul sinonim dengan kehidupan penduduk di kawasan itu.

“Ada penduduk yang saya temui rasa hiba dan emosi apabila melihat replika ini, mereka berkata cangkul ialah sumber pendapatan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan hasil cucuk tanam.

“Bawa replika senang, kalau cangkul sebenar kurang sesuai, mungkin orang pun akan lari kalau tengok saya. Tapi saya rasa boleh mendekati golongan petani dan peniaga dengan mudah dengan cangkul ini,” katanya berseloroh.

Bernama mendapati Wong mudah mesra dengan peniaga Cina di sekitar Kea Farm, mungkin faktor kaum, namun difahamkan beliau juga adalah menantu kepada seorang wanita bernama Choi Yen yang pernah berniaga di kawasan Kea Farm.

Sementara itu, peniaga wanita Wong Siew Eng, 50, yang berniaga buah-buahan sejak 20 tahun lalu berkata, Wong adalah kenalannya dari dulu lagi.

“Saya kenal dia sudah lama, keluarga pun saya kenal, jadi dia bukan orang lain lagi mah...” katanya dengan loghat pekat Cina.

Wong tidak kisah siapa yang akan memenangi kerusi itu, namun mahukan individu yang boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kalau boleh, cantikkan kawasan peniaga di Kea Farm, besarkan lagi gerai kami, tempat letak kereta yang lebih luas juga perlu sebab sangat sesak setiap hari minggu,” katanya.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:24 PM