SEBAHAGIAN daripada pelanggan beratur untuk mendapatkan char kuetiau secara percuma  di King’s Char Kuey Teow, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SEBAHAGIAN daripada pelanggan beratur untuk mendapatkan char kuetiau secara percuma di King’s Char Kuey Teow, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Sebanyak 4,000 pinggan char kuetiau percuma disediakan untuk pelanggan setia sempena Hari Keputeraan Ke-71 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di King’s Char Kuey Teow (KCKT), Batu 4, Jalan Pantai, di sini, kelmarin.

Pemiliknya Aizat Zuhaili Abu Bakar, 31, berkata ia sebagai menghargai pelanggan yang sentiasa menyokong KCKT.

“Hari ini (kelmarin) adalah hari yang amat sesuai sempena cuti Hari Keputeraan Tuanku Muhriz yang ke-71. Alhamdulillah, KCKT dapat menyediakan lebih 4,000 pinggan kuetiau secara percuma kepada mereka yang hadir.

“Program ini bermula dari jam 5 petang hingga jam 12 tengah malam dan pelanggan turut dihiburkan kumpulan pemuzik buskers bagi memeriahkan suasana,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Katanya, rakyat mempunyai pelbagai cara bagi menunjukkan kegembiraan dan terima kasih kepada pemerintah yang menjadikan negeri ini aman dan harmoni.

“Sebagai peniaga, saya memilih cara ini untuk menzahirkan terima kasih dan syukur iaitu dengan bersedekah kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:22 AM