MOHD Hafis dan isterinya menunjukkan menu makanan bajet serendah RM1.
MOHD Hafis dan isterinya menunjukkan menu makanan bajet serendah RM1.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Meskipun hanya RM1, keenakan rasa dan bahan asas dalam setiap menu secukup rasa seperti makanan disediakan di kedai tomyam lain dengan harga lebih tinggi.

Pemilik Restoran Ekonomi, Mohd Hafis Mansor, 33, berkata, usaha mengetengahkan menu makanan bajet serendah RM1 hasil idea isterinya, Azimah Abd Lazim, 27, ternyata menampilkan kelainan, sekali gus menarik perhatian pelanggan sejak beroperasi di Jalan Sempadan di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 11 Januari lalu.

Beliau berkata, menggunakan tagline ‘Harga Termurah Pasti Kembali’ dikatakan mampu ‘mencuit’ hati pelanggan untuk singgah dan menikmati hidangan ala tomyam, masakan nasi campur dan minuman terpilih dengan RM1 saja.

“Walaupun menu makanan bajet terpilih seperti kuetiau, maggi, bihun dan mi dalam bentuk sup dan goreng hanya dikenakan RM1, namun bahan wajib dalam setiap hidangan itu tidak diabaikan.

“Bukan saja makanan terbabit RM1, malah minuman bajet tidak terkecuali seperti air keladi, sirap, anggur, oren, laici, jagung, asam masin, strawberi, sarsi, teh ais, teh o ais, kopi o ais dan ais batu campur (ABC) dapat dinikmati pelanggan pada RM1,” katanya yang menjalankan perniagaan setiap hari bermula 3 petang hingga 12 tengah malam kecuali Rabu.

Mohd Hafis berkata, bagi menampilkan keistimewaan dan mampu menempatkan hampir 60 pelanggan dalam satu masa, menu bajet berkenaan hanya akan disediakan ‘panas-panas’ kepada pelanggan selepas menerima pesanan supaya keenakannya dapat dirasai dalam setiap hidangan itu.

Bukan itu saja, menu ekonomi seperti nasi goreng biasa, nasi goreng ayam, nasi goreng paprik, nasi goreng sotong, nasi goreng tomyam dan banyak lagi masakan tomyam turut ditawarkan bermula dengan serendah RM3 hingga menu nasi goreng USA hanya RM5.

“Antara menu ekonomi lain paling mendapat sambutan bermula RM3 hingga RM4 adalah char kuetiau Penang, char kuetiau kerang, kuetiau goreng, bihun sup dan banyak lagi.

“Paling mendapat sambutan pelanggan adalah char kuetiau apabila 100 pinggan berjaya dijual dalam sehari dan kami memperuntukkan lima kilogram (kg) udang untuk menyediakan hidangan berkenaan,” katanya.

Mohd Hafis berkata, jualan hidangan itu laris hasil daripada keenakan kicap dihasilkan sendiri, sekali gus berjaya memberikan rasa ‘kick’ selain turut menyediakan menu sampingan lain seperti sate ayam dan daging dalam saiz memuaskan hati hanya 80 sen.

Dia berkata, matlamat sebenar dia dan isteri menawarkan harga mampu bayar itu adalah untuk berniaga sambil beramal bagi membantu orang ramai menjamu selera di restorannya apabila terkesan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurutnya, pihaknya turut menerima tempahan menu bajet bagi sebarang majlis terutama di masjid sekitar kawasan itu hingga ke Parit Buntar, Perak selain merancang menawarkan menu makanan Barat dengan harga ekonomi dalam masa terdekat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 11:53 AM