Loo Peng Wah menghadapi 77 pertuduhan baharu  Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini kerana membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). FOTO Muhammad Apendy Issahak
Loo Peng Wah menghadapi 77 pertuduhan baharu Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini kerana membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak

SEORANG ahli perniagaan menghadapi 77 pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini menjadikan keseluruhan 332 pertuduhan kerana membuat tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM26 juta.

Loo Peng Wah, 52, sejak Ogos tahun lalu sudah beberapa kali dihadapkan ke mahkamah dan didakwa dengan 255 pertuduhan membabitkan kesalahan mengikut Akta GST 2014 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Bagi pertuduhan hari ini, dia didakwa dengan 60 pertuduhan secara bersendirian dan 17 lagi secara bersama seorang lagi tertuduh, Mok Siew Khuen, 52 membabitkan cukai keseluruhan bernilai kira-kira RM7juta.

Turut didakwa, Chan Kok Ming, 45, yang menghadapi 10 pertuduhan lain membabitkan kesalahan sama dan ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 89 (1)(b), Akta GST 2014 serta Seksyen 90 akta sama.

Semua 77 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Azman Abu Hassan dan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Nazir Amir Johari.

Peng Wah yang diwakili peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua 77 pertuduhan dihadapi dan minta dibicarakan.

Siew Khuen yang tidak diwakili peguam juga mengaku tidak bersalah manakala Kok Ming, diwakili peguam Manjeet Kaur turut membuat pengakuan sama.

Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi ketiga-tiga tertuduh iaitu Peng Wah (RM2.31 juta), Siew Khuen (RM510,000) dan Kok Ming (RM300,000).

Pihak Peng Wah, meminta mahkamah hanya mengekalkan wang jaminan bagi kesalahannya terdahulu yang berjumlah RM665,000, dan Siew Khuen memohon diberikan jaminan yang rendah kerana hanya bekerja sebagai peniaga ayam serta perlu menjaga ibu berusia 80-an.

Kok Ming pula meminta jaminan rendah kerana kes berkenaan sudah tiga tahun dan baharu hari ini didakwa serta sepanjang tempoh berkenaan pihaknya memberi kerjasama yang baik dan hadir lapor diri ke pejabat JKDM setiap bulan tanpa gagal.

Hakim Azman kemudian membenarkan jaminan pertuduhan terdahulu dikekalkan terhadap Peng Wah, manakala Siew Khuen dikenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan Kok Ming diberi jaminan RM20,000 juga dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh turut dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta lapor diri di pejabat JKDM sekali setiap bulan dan kes disebut semula pada 4 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:08 PM