PETUGAS membawa jenazah Aariz Harraz. FOTO Harun Yahya
PETUGAS membawa jenazah Aariz Harraz. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


POLIS mengklasifikasikan semula kes dera membabitkan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di Sibu sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia susulan kematian bayi berkenaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, pagi semalam selepas menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya disyaki didera pengasuhnya, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit turut mengesahkan tempoh reman suspek yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga 17 Januari ini untuk siasatan lanjut.

“Ini juga bagi melengkapkan proses siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa, Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan, meninggal dunia di Hospital Sibu pada jam 11.55 pagi semalam, di pangkuan ibunya, pada 11. 30 pagi.

Bayi itu menerima rawatan sejak Isnin lalu dan disahkan ‘mati otak’ pada 9.10 pagi Sabtu, oleh pasukan perubatan yang merawatnya.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain mengalami retak di bahagian kiri kepala akibat hentakan kuat.

Suspek ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa dan dia kemudiannya mengakui menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis, selain mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat datang bulan.

Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya pada waktu bekerja.

Berita berkaitan

'Akhirnya saya faham kelakuan pelik Zahin'

Adik Aariz sudah tiada

'Terima kasih Allah pinjamkan Aariz Harraz Zahin'

Bangun sayang.....

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 10:27 AM