ANGGOTA bomba membantu membuka cincin yang melekat di jari kanak-kanak di Kampung Bako Indah. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membantu membuka cincin yang melekat di jari kanak-kanak di Kampung Bako Indah. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


KANAK-KANAK lelaki di Kampung Bako Indah, Kuching terpaksa menanggung kesakitan selama beberapa jam apabila cincin yang dipakainya gagal dikeluarkan, semalam.

Mangsa, Muhd Aim Abdullah, 9, berusaha membuka cincin keluli itu sejak tengah hari semalam, namun usahanya bukan sahaja gagal malah jari manis tangan kirinya membengkak dan berdarah.

Berikutan itu, bomba dipanggil bagi membantu membuka cincin berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.42 malam tadi.

"Sebaik menerima panggilan itu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan bantuan tiga anggota EMRS dari BBP Petra Jaya dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi didapati kanak-kanak lelaki itu sedang menahan kesakitan apabila jarinya bengkak dan berdarah akibat cincin yang tersangkut," katanya.

Beliau berkata, penderitaan kanak-kanak itu berakhir pada 9.30 malam apabila bomba berjaya memotong cincin itu menggunakan peralatan khas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 11:32 AM