Keadaan motosikal mangsa selepas terbabit dalam kemalangan merempuh babi hutan (gambar kecil) semalam. FOTO Ramli Ibrahim
Keadaan motosikal mangsa selepas terbabit dalam kemalangan merempuh babi hutan (gambar kecil) semalam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENGAWAL keselamatan maut apabila motosikal ditungganginya melanggar babi hutan di Kilometer 17 Jalan Gua Musang-Jeli, dekat Gua Musang, malam tadi.

Mangsa, Norafandi Noradin, 37, berasal dari Jalan Masjid Razaleigh yang cedera parah di kepala, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Terah.

“Ketika mangsa melalui jalan itu tiba-tiba seekor babi hutan yang keluar dari semak terus melintas ke kanan jalan.

“Kerana jarak terlalu dekat, mangsa tidak dapat mengelak dan motosikal ditungganginya melanggar babi hutan itu.

“Berikutan kejadian itu, mangsa terjatuh dibahu jalan bersama motosikalnya menyebabkan kecederaan parah di kepala, dan dikejarkan ke HGM,” katanya.

Mohd Taufik berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke bilik forensik HGM untuk bedah siasat.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 9:25 AM