Gajah denak, Sanum (kiri) membantu memujuk Nik Subong dalam operasi pemindahan gajah di RPT Sungai Terah, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Gajah denak, Sanum (kiri) membantu memujuk Nik Subong dalam operasi pemindahan gajah di RPT Sungai Terah, di sini, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Dua gajah liar jantan yang ditangkap minggu lalu kerana mengganggu kebun penduduk, berjaya dipindahkan dalam dua operasi berasingan pada semalam dan hari ini.

Dua gajah denak, Sanum dan Kasturi daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah digunakan untuk memujuk gajah liar terbabit yang dinamakan Man Subong dan Nik Subong.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi pemindahan gajah itu dilakukan di Kampung Subong dan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah.

"Alhamdulillah operasi berjalan lancar dan kedua-dua gajah ini akan dilepaskan ke habitat asal mereka.

"Operasi ini membabitkan 20 anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang; Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Terengganu dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan," katanya ketika ditemui di RPT Kesedar Sungai Terah, di sini.

Sementara itu, pemilik kebun, Zahari Daud, 52, berkata, sangat bersyukur kerana akhirnya masalah gangguan gajah liar terhadap kebun penduduk selesai.

"Terima kasih kepada Perhilitan atas usaha yang dilakukan, menjejak, menangkap dan memindahkan dua ekor gajah liar ini selepas aduan pada bulan lalu.

"Apa yang kami harapkan masalah ini dapat diselesaikan untuk tempoh jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 4:14 PM