GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini

PEKERJA ladang maut diserang gajah liar ketika bertugas di kawasan ladang FELCRA Dusun Panti Batu 18, Jalan Johor Mersing, di Kota Tinggi, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Nik Azaham Nik Aziz, berkata dalam kejadian jam 6.40 petang itu, mangsa, Muhammad Ridwan Mohd Yasin, 26, disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi.

“Makluman awal yang diterima pengadu iaitu penyelia ladang di Balai Kota Tinggi, mangsa dalam keadaan cedera parah akibat diserang gajah liar.

“Mangsa pada awalnya keluar melakukan tugas rondaan dan menghidupkan pelita di kawasan ladang itu.

“Secara tiba-tiba, seekor gajah liar terus menyerang dan memijak mangsa.

“Ekoran dari serangan gajah terbabit mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Azaham berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi urusan bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 8:57 AM