TANAMAN rosak dipijak gajah liar di Kampung Lukut. FOTO ihsan penduduk.
TANAMAN rosak dipijak gajah liar di Kampung Lukut. FOTO ihsan penduduk.
Nurul Amanina Suhaini


“SETAKAT ini gajah kacau tanaman, tak ancam nyawa,” kata penduduk Kampung Lukut, Kota Tinggi, Banon Mohamad Yusof, 60, antara yang bimbang dengan kehadiran gajah liar di kawasan kampung berkenaan.

Banon berkata, perasaan takut mula timbul terutama pada waktu malam, berikutan haiwan berkenaan akan berlegar dari rumah ke rumah dan merosakkan tanaman di kebun belakang, sejak dua bulan lalu.

“Kelmarin gajah datang kira-kira jam 5 pagi. Saya terdengar bunyi benda berat yang pijak pokok. Dengar bunyi itu, babi hutan pun takut dan lari, jadi hati ini rasa tidak sedap lalu saya buka tingkap bilik dan gajah ada di situ.

“Habis tanaman pisang di belakang rumah rosak. Dulu kehadiran gajah liar itu tidak sekerap seperti sekarang. Setiap tiga bulan, kira-kira enam ekor yang datang rosakkan tanaman. Namun akhir-akhir ini, boleh kata setiap malam gajah datang sehingga mencecah 21 ekor pada satu masa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Banon berkata, gajah liar itu akan merosakkan tanaman iaitu memakan umbut kelapa sawit dan pisang selain merosakkan pagar di kawasan sekitar.

“Disebabkan penduduk kampung tinggal di kaki Gunung Panti dan Gunung Gaung, haiwan itu rasa makanannya sudah tiada, sebab itu dia datang ganggu di sini (Kampung Lukut),” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim berkata, pihaknya menggesa supaya tindakan segera diambil berikutan isu itu akan menjejaskan keselamatan penduduk, selain kerosakan tanaman dan harta benda.

“Kita pernah berbincang dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah bagi tindakan segera seperti tembak halau, selain meminta bagi mempercepatkan pembinaan pusat perlindungan gajah dan melaksanakan tindakan susulan yang berkesan.

“Bagaimanapun, masalah gajah liar ini berlarutan daripada aktiviti penerokaan hutan di sekitar kawasan Kampung Lukut dan Kampung Temenin.

“Pihak DUN Panti sudah membuat beberapa laporan mengenai aktiviti penerokaan kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri. Namun hingga saat ini, tiada sebarang maklum balas rasmi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 5:41 PM