Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Nur Lela Zulkipli


MAYAT wanita yang disumbat dalam bagasi ditemui juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi ketika individu itu menjalankan kerja memeriksa kabel bawah tanah dalam parit di Jalan Persiaran Kuala Selangor hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pada 5.50 pagi tadi, juruteknik itu memaklumkan menjumpai beg pakaian warna perang yang mempunyai kesan darah serta berbau busuk dipercayai mayat.

“Pengadu bersama rakan sekerja sedang menjalankan kerja memeriksa kabel bawah tanah di lokasi kejadian sebelum terhidu bau busuk dari beg pakaian yang terbuka sedikit di dalam parit.

“Pengadu kemudiannya turun ke parit itu dan mendapati darah di sekitar beg selain kelihatan bentuk badan disyaki manusia sebelum menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan, kumpulan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing K9 digerakkan ke lokasi.

“Mayat wanita berusia lingkungan 20-an itu dijumpai di dalam parit sedalam 2.75 meter di tepi Jalan Persiaran Kuala Selangor (arah ke Shah Alam) iaitu 200 meter dari simpang tiga lampu isyarat dengan Jalan Persiaran Klang,” katanya.

Mayat wanita itu disumbat dalam bagasi pakaian berukuran 17 inci lebar dengan panjang 0.6 meter dan tebal 11 inci jenama Safari.

“Kita juga dapati kepala mangsa dibungkus dengan plastik hitam, manakala tubuh dalam keadaan sempurna di dalam bagasi itu.

“Mayat wanita itu juga masih berbaju bercorak bunga dan di salah satu tangannya terdapat gelang halus kuning,” katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan, mayat dikenalpasti berkulit cerah, bagaimanapun bangsa dan usia masih belum diketahui.

“Mayat disyaki sudah mati dalam tempoh tiga hari. Mayat juga dilihat tidak dikerat-kerat (sempurna),” katanya.

Katanya, tiada dokumen dijumpai bersama mayat atau di dalam beg berkenaan.

“Bedah siasat akan dijalankan esok pada 10 pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

Sumbat mayat wanita dalam beg

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 6:12 PM