Nurul Hidayah Bahaudin


LEBIH 90 anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya bagi mengawal keadaan sejak awal pagi hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati laluan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran susur keluar Putra Heights-USJ ditutup, kira-kira jam 6 pagi tadi sebagai langkah keselamatan.

Lalu lintas di kawasan terbabit kembali lancar sebaik laluan itu dibuka semula kepada pengguna jalan raya kira-kira jam 9 pagi.

Setakat ini, keadaan di sekitar kuil berkenaan dalam keadaan terkawal. Beberapa petugas media turut berkumpul di kawasan berkenaan bagi membuat liputan.

Difahamkan, lebih 100 anggota polis termasuk FRU turut ditempatkan di bangunan pusat beli-belah One City yang terletak berhampiran kuil terbabit.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan anggota termasuk FRU bagi mengawal keselamatan di Kuil Sri Maha Mariamman ekoran kejadian rusuhan pada 26 November lalu.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 10:57 AM
ANGGOTA polis dan FRU berkawal di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANGGOTA polis dan FRU berkawal di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin