ABDUL Fatah Amin pada program Khatan Perdana Prihatin Rakyat Paya Besar, hari ini. Foto SHAHRINNAHAR LATIB
ABDUL Fatah Amin pada program Khatan Perdana Prihatin Rakyat Paya Besar, hari ini. Foto SHAHRINNAHAR LATIB
Shahrinnahar Latib


“TAK sakit pun, macam kena gigit semut,” kata Abdul Fatah Amin Shahrum antara 35 peserta Khatan Perdana Prihatin Rakyat Paya Besar di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching di Permatang Badak, Kuantan, hari ini.

Abdul Fatah Amin, 6, yang bakal memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan, berkata walaupun takut, namun dia tetap mahu berkhatan kerana ingin menjadi orang dewasa dan boleh menjadi imam.

“Hari ini saya datang nak ‘sunat’, saya tak takut sebab orang cakap tak sakit, macam kena gigit semut je…. seronok dan teruja sebab rasa macam dah dewasa. Orang kata lepas bersunat boleh jadi imam.

“Ini pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Lepas ni kena berpantang, tetapi tak lama, lepas itu boleh bermain dengan kawan-kawan semula,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, perasaan takut itu hilang selepas melihat ramai rakan-rakannya tidak menangis sepanjang proses berkhatan berlangsung.

Seorang lagi peserta, Muhammad Harith Adam Hazrin, 6, berkata dia sudah bersedia untuk dikhatankan kerana bapanya ada menceritakan kebaikan berkhatan.

“Memang ada rasa takut, tapi lepas kena siram dengan pancutan air bomba seronok pula, perasaan takut pun hilang. Malah lepas tengok kartun Upin Ipin saya terus nak khatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, program berkenaan mendapat sambutan baik apabila 35 kanak-kanak menyertai acara berkenaan.

“Kita cuba menghidupkan kembali budaya berkhatan beramai-ramai sambil berarak dan berselawat mengelilingi kampung supaya kanak-kanak terbabit dapat diterapkan dengan nilai kemuafakatan pada peringkat awal.

“Saya harapkan program seumpama ini akan diteruskan sebab banyak manfaat terutama bagi keluarga kurang berkemampuan akibat kenaikan bayaran perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 6:00 PM