ANGGOTA JPJ melaksanakan Ops Lejang di Hentian Rehat Mambau. FOTO ihsan JPJ
ANGGOTA JPJ melaksanakan Ops Lejang di Hentian Rehat Mambau. FOTO ihsan JPJ
Ahmad Hasbi


Seremban: Kesalahan membabitkan lesen memandu merekodkan jumlah saman paling tinggi ketika Ops Lejang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, semalam.

Operasi di Hentian Rehat Mambau, Kilometer 8, Lebuhraya Seremban-Port Dickson turut mendapat kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan serta Plus Berhad.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, pelaksanaan operasi itu memberi tumpuan terhadap kesalahan dilakukan penunggang motosikal.

"Pihak kami memeriksa 564 kenderaan dan 47 daripadanya dikesan melakukan 103 kesalahan.

"Kesalahan paling tinggi adalah tiada lesen memandu, tiada lesen memandu mengikut kelas yang bersesuaian dan lesen memandu tamat tempoh membabitkan 41 notis," katanya.

Hanif berkata, pihaknya mengeluarkan 11 notis masing-masing bagi kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans manakala bakinya adalah kesalahan membabitkan teknikal dan lain-lain kesalahan.

Mengulas lanjut, kesalahan membabitkan lesen memandu dalam kalangan penunggang motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi.

"Tahap kesedaran penunggang motosikal mengenai kepentingan lesen memandu dan insurans masih tidak memuaskan.

"Kami juga mengesan pemilik motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi," katanya.

Justeru, beliau berkata, pemilik dan penunggang motosikal dinasihatkan supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang serta tidak terbabit dalam aktiviti perlumbaan haram, rempit serta menunggang motosikal secara melulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:36 AM